Di Raut Wajah Senja

“Hidup di setinggan tak sama hidup di Kampung Kepala Jendol ni ayah. Di sana saya bebas berkarya tak mengira waktu. Di kampung ni apa yang ada?” rungut si anak muda berkain pelikat tidak berbaju.

Sesekali tangannya menggaru-garu ke belakang badan. Gatal. Sesekali mata mereka merenung ke atas. Bersawang. Rumah pusaka itu kian uzur. Daun pintunya sudah dibaham sedikit oleh anai-anai. Engselnya sudah teruk berkarat. Pangkal rumah tua itu sudah lama tak berpenghuni. Kini, dua beranak itu berbual di situ, sama seperti puluhan tahun yang lalu.

Si ayah menggulung tembakau, si anak terus mengelap saksofon yang menjadi ibu duit pemuda itu sejak setahun yang lalu.

“Nak berjogging pon jadi bahan sindiran. Kalau kita membaca surat khabar orang putih dikata mencari kerja kosong. Kita makan burger, dikata mahu jadi orang putih pula. Serba tak kena saya di sini” bebel si anak lagi.

“Harun…”

“ayah?” jawab Harun Bin Bujang. Tangannya tak berhenti menggesel kain buruk ke rangka saksofon kesayangannya.

“Dalam dada ayah terbuku sesuatu yang dah…”. Tersekat. Wajah orang tua itu kian sugul. Nafasnya semput. Dua mata yang kian rabun itu merenung liar tikar mengkuang koyak, alas punggung mereka dua beranak sejak sekian lama. Harun tersentak dari leka. Keningnya terangkat, terkesima di dalam diam.

“Ada sesuatu yang harus Harun tahu?”. Harun bertanya dengan renungan yang kian mendalam.

Itulah Harun. Walau dalam usia yang matang 41 tahun, hatinya tak pernah cuba untuk berhenti berangan yang bukan-bukan. Jauh di sudut hatinya tersimpan angan-angan bahawa ayahnya itu orang berharta yang dibuang keluarga. Malah Harun pernah berfantasi bahawa ayahnya sengaja menyimpan rahsia tentang harta karun yang terkambus di bawah tapak rumah mereka. Dia pasti di suatu hari ayahnya akan menyerahkan kunci hikmat yang akan membawa kepada penemuan harta itu lantas akan mengubah kehidupan di hari kemudian.

“Tidak Harun..”

“Apa yang tidak ayah?”

“Sebenarnya ayah sudah mati sejak 25 tahun yang lalu. Ayah tak pernah berahsia walau apa pun…”

Harun mencebik di dalam hati. Selama hayatnya, tak pernah kakinya menjejak tanah kubur. Masakan dia terlupa andainya benar orang tuanya itu sudah dihantar malaikat maut ke alam barzakh.

“Orang tua ni dah buang tebiat gamaknya”. Harun merungut lagi. Di sudut hatinya terpancar sinar psikedelik yang menyayat jiwa sekalian kamu yang separuh mabuk diracun dunia. Harun terus merungut lagi dan tanpa disedari, hari sudah membeku. Esok sudah tiada lagi.

Advertisements

Random Merandom

setelah 12 tahun hilang:

“Bard sekarang kau kerja line mekanikal ke?”

“Mechanical apanya Boi…………… Bukan kau duduk sebelah aku ke dulu dalam kelas.”

Dulu si Badol a.k.a. Bard a.k.a. Badrul Hisham tinggal di Keramat, K.L. Sekarang dia duduk dan bekerja di Air Keroh, Melaka. Dah nak menikah pulak tu. Sungguh laju masa berjalan. Aku seperti masih di Tingkatan 5 Anggur rasanya…